Friday, April 24, 2009

HAIRAN SI MALAIKAT MAUT!

Langit malam ini cerah. Butiran
bintang yang menghiasi dada langit
berkelip-kelipan. Purnama menghiasi
malam kelihatan dipagari bintang
menerangi langit dengan sedikit cahaya
pantulan dari sang matahari. Sungguh
indah bulan kata sang pujangga, tetapi
apabila angkasawan memijak bulan
dilihatnya keadaan bulan itu maka
terdetik dihatinya alangkah indahnya
bumi itu. Bumi ciptaan Zat yang Maha
kuasa.

Itulah manusia tidak pernah menghargai
apa yang dimiliki jauh sekali
mensyukuri kenikmatan yang dirasai,
sukar menadah tangan tanda mensyukuri.
Tidak reti merebut peluang menghargai
setiap detik denyutan nadi yang masih
ada. Seperti malam ini, kebanyakkan
penghuni dunia sedang lena dalam
kepenatan, berdengkur dalam kelalaian.
Mereka terlupa untuk menghayati
sekaligus menyelami keindahan malam
kurniaan ALLAH ini. Lupa mencari
ketenangan dimalam hari, memohon
keampunan menyesali dosa-dosa yang
lalu. Malam yang indah berlalu begitu
sahaja tanpa adanya alunan zikir untuk
tuhannya, tiada kemerduan bacaan ayat-
ayat Al-Quran bagi menenangkan jiwa,
tanpa kedengaran suara rintihan insan
menginsafi perbuatannya yang ada cuma
mereka-mereka yang rakus memenuhi
nafsu tidurnya leka mematuhi nafsu
syahwatnya. Malam yang syahdu mula
merangkak kesubuh. Suara pungguk
semakin suram apabila bulan mula
menghilangkan dirinya. Nampaknya malam
ini tidak kutemui mereka yang menghiasi
malamnya dengan indah. Tiada yang
merebut segala kemewahan dan
kenikmatan yang ALLAH janjikan buat
mereka di malam ini.


Kesiangan menyapa. Suara kokokan ayam
seolah-olah menyambut kehadiran siang.
Mengejutkan manusia akan kewajipan
menunaikan tanggungjawab kepada yang
Hak. Ada yang bangun dengan
semangatnya, ada yang masih leka
dengan selimutnya sehingga terlupa
menunaikan kewajipan. Kelihatan
makhluk yang dilaknat ALLAH sedang
membisikkan kenikmatan tidur ditelinga-
telinga mereka. Membelit badan mereka
dengan selimut kemalasan. Ada yang
berjaya mengatasinya ada yang terus
hanyut. Seketika kemudian bertebaran
mereka ke serata alam mencari rezeki,
mengumpul harta, membina kemahsyuran,
meluaskan empayar. Masing-masing ingin
menjadi kaya walau seringkali membina
kejayaan, kekayaan dan kebahagian
diatas keruntuhan insan lain. Mereka
tidak peduli janji hati mereka puas.
Mereka kurang simpati, mereka kurang
bersifat insaniah tetapi lebih kepada
materialistic, individualisme dan
kebinatangan. Namun masih ada
dikalangan mereka yang bersifat
insaniah walaupun bilangannya boleh
dikira. Dan kerana mereka-mereka
inilah maka ALLAH melambatkan azab
diatas muka bumi ini. Masih
mengurniakan nikmat, serta menurunkan
hujan buat penghuni bumi agar
kehidupannya tumbuh subur walau
sedikit demi sedikit dunia ini
menganjak kelembah hancuran meniti
lembah kebinasaan mengharungi detik
tuanya.

Hartaku hartamu jua, tapi hartaku
milikku sahaja. Hak mutlak diriku!.
Khazanah mula mengaburi mata, sampai
sanggup merampas hak milik insan lain.
Meragut beg-beg kepunyaan orang lain
menjadikannya harta sendiri! Jeritan
pekikan mangsanya tidak langsung
mengundang belas dihati peragut tetapi
bagaikan alunan suara yang menhibur
serta mengembirakan. Kejayaan harus
dirai walaupun kadangkala ada nyawa
yang terkorban. Siapa peduli! Yang
pasti entah kemana hilangnya sifat
kemanusian, sikap tanggungjawab itu?
Sifat insaniah yang seharusnya ada
dalam setiap diri insan.

Aku melebarkan sayapku keufuk timur
dan barat. Utara serta selatan. Sama-
sama memeriahkan majlis ilmu,
mendoakan kebahagian untuk mereka-
mereka yang menghadirinya. Kelihatan
seorang alim sedang memberi
peringatan. Yang pasti hanya sedikit
sahaja yang menghayatinya. Wajah-wajah
uzur tekun menangkap bait-bait kata
yang keluar dari mulut si alim. Sekali
kelihatan mereka mengagguk-anggukkan
kepala tanda mengerti akan apa yang
disampaikan. Ada juga yang tersengguk
namun ada tangan yang menyedarkan.
Sedikit sekali orang muda
menghadirinya. Persoalannya kemana
perginya anak-anak muda dizaman ini?

Keriuhan diufuk sana menarik
perhatianku. Disini kulihat beratus-
ratus anak muda sedang berhimpun.
Mungkin ada majlis ilmu yang boleh
kuturuti bersama. Nanti bolehlah aku
melebarkan sayapku keufuk timur dan
barat serta berdoa kepada tuhanku
untuk mereka. Semakin kedekati semakin
kurasakan kesempitan. Ketidakselesaan
menguasai diri. Rupanya mereka sedang
terpekik, terlalak, menari, bergurau
senda sesama mereka. Leka mendengar
alunan suara dan sang penyanyi diatas
pentas. Entah konsert apa yang dibuat
sehingga menarik perhatian golongan-
golangan muda.termasuk segelintir
golongan tua yang berjiwa muda? Aku
tak bisa bersama-sama mereka dan aku
semakin jauh dari mereka. Dicelah-
celah mereka mereka aku lihat makhluk-
mahkluk yang dilaknat ALLAH terus
membisikkan keseronokkan, menabur
serbuk kelalaian pada mereka agar
mereka semua terus hanyut dan
bergembira dalam kefanaan, menari
dalam kebinasaan.


Aku terdengar suara esakan tangisan.
Bukan dari seorang dua tapi ramai.
Adakah itu suara manusia yang mengalir
air mata kerana takut pada tuhannya?
Air mata kesyukuran atau air mata
keinsafan yang dialirkan. Aku
mendekati mereka kelihatan anak-anak
muda sedang menangis tapi ada jua yang
melonjak kegembiraan. Mencipta
Nama perkataan yang menghiasi
belakang pentas. Kelihatan tiga panel
sedang membuat penilaian keatas
seseorang. Hairan apa yang mereka
lakukan. Tiga orang menilai seseorang.
Nampak kelemahan yang nyata mahkluk
yang bernama manusia. Tuhanku bisa
menilai seluruh manusia didalam dunia
ini dalam masa yang singkat.
Bukan
sahaja manusia malahan sekelian alam.
Segala yang dilangit dan dibumi
dibawah penguasaanNya didalam
pemerhatianNya. Dan sebagai mahkluknya
yang bersyukur tidak sesaatpun aku
lupa untuk memujinya. Setiap detik aku
mengalunkan zikir sambil menjalankan
tugasku sebagai hambaNya. Memerhati
gelagat mereka yang dipanggil manusia.

Hairan kenapa mereka berlumba-lumba
menempah tiket ke neraka?
Adakah
mereka terlupa akan kewujudan syurga.
Lupa kenikmatan yang dijanjikan oleh
tuhan mereka andai mereka akur akan
perintahNya! Butakah mata hati mereka
mengejar cita-cita yang bisa
memasukkan mereka kelembah kefanaan,
membawa mereka mendekati rezeki haram.

Bangga sangatkah kalau dinobatkan
sebagai idola. Menjual suara
dikhalayak ramai, melekakan insan yang
rapuh imannya melanggari waktu
sepatutnya mereka mengabdikan diri
pada pencipta.

Erm..tangisan tersebut tidak
seharusnya mendiami perasaan mereka!
Untuk apa tangisan itu? Untuk siapa
tangisan itu? Sepatutnya mereka
bersyukur bukannya mengalirkan air
mata kekecewaan. Allah menutup peluang
mereka agar mereka tidak lebih
berdosa. Supaya mereka tidak hanyut
dibawa arus. Supaya mereka sedar dan
tidak kemaruk ingin menjadi ternama
didunia tercicir diakhirat. Kadangkala
hairan melihat manusia mengejar
sesuatu yang tidak mendatangkan faedah
kepada diri mereka. Kenapa perlunya
hiburan semacam itu yang merosakkan
minda dan jiwa. Mana bisa diberi
santapan pada rohani tapi mungkin
sangat sesuai untuk santapan nafsu.

Mereka tergelak, melompat seperti
katak, terlalu gembira bila dipilih.
Gembira tidak terperi. Sedangkan
mereka sedang menghampiri diri mereka
kepada bunga-bunga maksiat. Perempuan
adalah mahkluk yang tersorok serta
istimewa dan apabila timbul keinginan
untuk dikenali, timbul impian untuk
ternama, menyalut pakaian yang tidak
sepatutnya disarungkan, memperlihat
akan apa yang seharusnya
disembunyikan, menumpang bahu orang
yang bukan muhrim untuk melegakan
perasaan bukankah itu antara perbuatan
yang mengundang dosa, mengamit
kebencian ALLAH. Bukankah seharusnya
ia dielakkan. Kemana perginya suara-
suara insan yang inginkan islam
dimartabatkan. Kemana hilangnya kuasa-
kuasa yang bisa suaranya didengar?
Adakah mereka tidak mempelajari serta
mengambil iktibar dari kisah didalam
al-quran yang suci itu.

entahlah.

Adakah mereka tidak tahu berfikir?
Sedangkan mereka adalah sebaik-baik
kejadian. Diberi akal untuk
memperhalusi nafsu.
Akal untuk
mengimbangi nafsu. Adakah mereka tidak
tahu berfikir atau tidak mahu
berfikir?
.Sebaik-baik kejadian,
semulia-mulia makhluk tapi yang pasti
ia tidak menjanjikan sebaik-baik
akhlak andai diri tak berusaha untuk
memperbaikinya. Bukankah Allah telah
mengingatkan yang kesenangan didunia
ini adalah kesenangan yang menipu!
Apakah mereka tidak membaca kitab suci
itu? Hanya diletakkan sebagai
perhiasan mrnghiasi rumah maka siapa
yang akan membacakannya, siapa yang
bisa mengalunkannya, siapa yang bisa
mengingatkannya andai tidak dibaca,
tidak diselami, tidak dikuasai.
.kreatifkah yang harus
dilabelkan pada mereka-mereka yang
menjadikan Al-Quran sebagai perhiasan?

Menanggis pada yang bukan hak, gembira
tidak bertempat, melalak tak kira
tempat. Entahlah kenapa mereka
dijadikah khalifah dimuka bumi ini
sedangkan ditangan merekalah bumi ini
hancur, pertumpahan darah berlaku,
manusia ditawan dan disembelih,
perebutan kuasa berlaku dimana-mana.
Inikah cirri-ciri sebagai Khalifah
yang ada pada mereka?
Sedangkan
penciptaan mereka menyebabkan Azazil
menjadi syaitan yang dilaknat Allah
tatkala enggan bersujud pada nabi Adam
a.s yang tercipta dari gumpalan tanah
yang busuk. Dari air mani yang kotor
andai jatuh ditanah ayam tak patuk
itik tak sudu. Namun yang pasti hanya
Allah swt sahaja yang mengetahui akan
kejadian manusia sebagai khalifah
dimuka bumi ini.
Dan Allah jualah yang mengetahui
rahsia langit dan bumi dan
kepadaNyalah dikembalikan segala
urusan.
Oleh itu sembahlah akan Dia
serta berserahlah kepadaNya. Dan
ingatlah Tuhanmu tidak sekali-kali
lalai akan apa yang kamu lakukan.


Surah yunus ayat 55; Ingatlah
sesungguhnya segala yang ada dilangit
dan dibumi adalah kepunyaan Allah.
Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu
adalah benar tetapi kebanyakkan
manusia tidak mengetahui. Maka
sesungguhnya Allah sahaja yang
mengetahui disebalik hikmahnya
penciptaan manusia sebagai khalifah
dimuka bumi ini.Ya Dialah yang Maha
Mengetahui, Maha Bijaksana. Andai
semua lautan digunakan untuk menulis
khalimah Allah maka keringlah lautan
itu walaupun diberikan satu lagi
lautan sebanding dengannya. Dialah
yang memiliki aras yang tertinggi lagi
mulia tapi kenapa manusia masih terus
lalai daripada mengabdikan diri padaNya.
Mensyukuri nikmatNya lantas menjadi
sebaik-baik umat. Tapi yang ada adalah
mereka-mereka yang lupa kan kewujudan
Tuhannya. Terleka dengan arus hiburan,
kemewahan, kesenangan, keasyikan
menoton tv yang seringkali juga
melalaikan manusia. ¦lalai
sungguh mereka walaupun mereka tahu
yang dunia ini semakin nyanyuk serta
bisa menyembah. Memuntahkan mereka
dengan kesakitan yang amat dahsyat.
Tidak tertanggung oleh mereka sendiri.
Sedangkan orang yang mengandung
lagikan keguguran. Yang bercanda
akhirnya bertempiaran. Yang berjanji
sumpah setia pun tak tentu arah.
Bagaikan kelkatu yang bertebangan.
Menempuh saat hari kekalutan.

Hari kematian semua makhluk dibumi
tanpa ada yang hidup walau satupun.
Walau hanya seekor lalat. Semuanya
akan mati. Semuanya kan bertaburan,
bertempiaran menyelamatkan diri tapi
usaha hanya khayalan sebab tak mahu
melawan kudrat tuhan yang menentukan.
Yang pasti segalanya diceritakan dalam
Al-Quran namun sedikit sahaja yang
ambil pengajaran. Yang lain masih
tidak kesedaran lantaran Al-Quran
hanya dibiarkan kaku menghiasi sudut
ruang.

Nauzubillah himinas syaiton nirajim.
Bismillahhirahman nirrahim. Aku
berlindung dengan Allah dari syaitan
yang direjam. Dengan nama Allah yang
maha pemurah lagi maha pengasih .
Terdengar alunan bacaan ayat-ayat suci
Al-Quran yang datangnya dari sebuah
pondok yang meniti usia. Satu persatu
ayat -ayat dari surah yusuf
dibacakan terjemahannya.

Ayat 43 ““ Sesungguhnya Allah tidak
menganiaya manusia sedikit pun akan
tetapi manusia jualah yang menganiaya
diri mereka sendiri.
Diteruskan bacaan
hingga ayat ke 57. Ayat 57- Wahai umat
manusia ! Sesungguhnya telah datang
kepada kamu Al-Quran yang menjadi
nasihat pengajaran dari Tuhan kamu,
dan yang menjadi penawar bagi penyakit-
penyakit batin yang ada di dalam dada
kamu, dan juga menjadi hidayah
petunjuk untuk keselamatan serta
membawa rahmat bagi orang yangt
beriman.

Air matanya berlinangan. Dikala
membaca tafsiran ayat 109- Dan
turutilah apa yang diwayuikan kepadamu
serta bersabarlah (dalam perjuangan
mengembangkan islam) sehingga Allah
menghukum (diantaramu dengan golongan
yang ingkar, dan memberi kepadamu
kemenangan yang telah dijanjikan),
kerana Dialah sebaik-baik hakim.
Kelihatan budak yang berusaha didalam
linkungan 10 tahun itu mengalirkan air
mata mengalunkan ayat-ayat suci Al-
Quran. Kehairanan menyapa Alangkah
bertuahnya budak ini umur setahun
jagung tapi kesedaran miliknya.
Bukankah tadi kelihatan anak muda mudi
yang sedang leka mengalun badan
seiring lagu mendengar konsert yang
menjelajah seluruh Malaysia. Bukankah
mereka lebih dewasa dari budak ini?
Betullah hidayah itu milik Allah.
Diberikan kepada yang mencarinya dan
yang ingin memilikinya.

Kemiskinan kadangkala adalah nikmat.
Tapi kadangkala ia bisa mengundang
kekufuran lantaran nasib diri
dipersoalkan lantas mencari jalan
pintas mencari kekayaan. Tapi sedarkah
mereka yang mereka adalah musafir.
Musafir yang hanya sementara menghuni
dunia. Musafir yang mencari makna
kehidupan, musafir yang mencari
bekalan untuk hari kemudian, musafir
yang mencari keagungan Tuhan juga
boleh diibaratkan sebagai pelayar yang
hanya seketika singgah sebentar
didarat lalu kembali berlayar
meneruskan perjalanan.

Erm.. kenapalah mereka tidak mahu
berfikir, kenapa asyik meminggirkan
akal dari kehidupan, meletakkan nafsu
sebagai ikutan, sering mengikut
telunjuk syaitan. Solat pula makin
dipinggirkan, masjid dibina dan dihias
indah tanpa ada yang mengimarahkan.
Sedangkan satu masa dahulu masjid
adalah tempat lahirnya ulamak-ulamak
yang terkenal lagi terbilang.
Dimanakah peranan masjid kini? Al-
Quran hanya menjadi perhiasan rumah.
Tiada yang cuba menyelami apatah lagi
mengambil pengajaran. Yang ada hanya
untuk martabatkan nyanyian. Suara
dilunakkan untuk mencipta nama. Masing-
masing berlumba-lumba menjadi
termahsyur. Tapi masyur bukan pada
agama, ternama bukan kerana ilmu,
disegani bukan kerana kealiman tapi
kerana nyanyian yang mekar dalam
kefanaa, yang menanah perlahan demi
perlahan memakan kerohanian,
merapuhkan institusi akhlak serta
menjadikan manusia lupa tuhan.
Kesedihan menyapa tatkala melihat air
mata berguguran kerana dipinggir oleh
insan yang mencari kononnya manusia
hebat dalam nyanyian. Tapi kesedihan
langsung tidak menyapa hati-hati
mereka yang buta Al-Quran.
Tak
terlintas sedikit penyesalan apabila
tidak mengenal huruf Al-Quran. Tidak
merasa kerugian dan kedengkian melihat
insan yang mengalunkan ayat Al-Quran
dengan baik. Apatah lagi menyesal
apabila tidak menjadikan bacaan ayat-
ayat suci Al-Quran sebagai amalan.
Memperhalusinya dalam amalan.

Tujuh puluh kali aku melihat mereka,
setiap kali itu juga aku diserang
kehairanan. Tatkala mereka bergembira,
bergelak ketawa, bergurau senda seolah-
olah macam besok masih ada buat
mereka. Jarang sekali aku melihat yang
bersujud dengan linangan air mata!
Tidak sedarkah mereka yang maut bakal
menyapa tak kira masa.
Meragut tatkala
mereka dalam kelekaan dan kealpaan
bagi mereka-mereka yang lalai.
Kematian itu sungguh menyakitkan saat
terpisahnya roh dari jasad apatah
mereka lupa menyediakan bekalan. Erm..
yang pasti aku ada tugas hari ini.
Mencabut satu nyawa! menanggalkannya
dari jasad. Dan yang pasti aku lihat
dia masih bergelak ketawa sedangkan
saat kematian baginya makin dekat. Aku
disapa kehairanan

No comments:

Post a Comment